Friday, November 29, 2019

MELIHAT ANAK SECARA BERSEDERHANA

Ini artikel tahun 2017. Saya repost ya😊

Mempunyai sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menimbulkan pelbagai pendapat di kalangan ibu bapa, pendidik dan advokator perkembangan kanak-kanak.

Sering kita baca perkongsian tentang betapa tidak adilnya apabila kanak-kanak "dipaksa" untuk membaca dari usia awal. Dan betapa tertekannya kanak-kanak yang perlu pandai membaca pada usia 7 tahun.

Namun, benarkah SEMUA anak-anak tertekan?

Bagaimana dengan anak-anak yang MEMANG SUKA membaca dan gemarkan aktiviti berbentuk linguistik dan literasi. Perlukah mereka disekat hanya kerana mahu memastikan mereka "cukup main"?

Terdapat banyak aspek dalam kecenderungan minat kanak-kanak yang perlu kita fahamkan.

Jika kita merujuk kepada teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner, terdapat 9 jenis kecerdasan manusia. Teori Kecerdasan Pelbagai ini pula berkait dengan teori Potensi Manusia.

Sebagai ibu bapa, memahami kecenderungan anak itu adalah amat penting. Saya sering tekankan dalam penulisan-penulisan saya tentang pentingnya memahami kecenderungan anak.

Pentingnya memahami kecenderungan anak.

Pentingnya memahami kecenderungan anak.

Pentingnya memahami kecenderungan anak.

Ada anak yang akan mudah sekali belajar membaca berbanding rakan sebayanya. Biarkan. Jangan sekat minat dan kecenderungannya.

Ada anak yang lebih suka bermain sendiri, hanya sekali-sekala sahaja dia akan bermain dengan rakan. Biarkan. Jangan sekat kreativitinya. Cuma bantu dia agar dia lebih mudah bergaul.

Ada anak yang lebih suka melukis dan menggambar. Tapi, amat tidak suka menulis. Biarkan minatnya. Jangan sekat. Cuma bantu dia untuk belajar menulis perlahan-lahan.

Ada anak yang lebih suka membina Lego, bermain dengan permainan bersifat logikal dan spatial. Tapi, sukar sekali belajar membaca. Biarkan minatnya. Jangan sekat. Cuma, cari strategi untuk bantunya mengembangkan kemahiran literasinya sambil memanipulasi minat logikal dan spatialnya.

Mama ayah,

Islam mengajar kita untuk sentiasa bersederhana.

Ini termasuk semasa membesarkan anak.

Kita tahu potensi anak. Kita tahu kelemahan anak.

Bantu kelemahan.

Jangan sekat potensi.

Jangan paksa anak kecil belajar rajin-rajin untuk menjadi doktor, jika anda nampak anak anda terlalu suka permainan bersifat matematikal dan logikal. Anak anda mungkin bakal menjadi jurutera yang baik.

Jangan paksa anak kecil belajar rajin-rajin untuk menjadi jurutera, jika anda nampak anak anda terlalu cenderung kepada perkara bersifat eksistential. Anak anda mungkin bakal menjadi ustaz yang baik.

Jangan paksa anak kecil belajar rajin-rajin untuk menjadi ustaz, jika anda nampak anak anda cenderung kepada perkara bersifat naturalis. Anak anda mungkin bakal menjadi doktor yang baik.

Luangkan masa, mama ayah.

Luangkan masa, mama ayah.

Luangkan masa, mama ayah.

Untuk fahami potensi dan kelemahan anak anda.

YANG BERUSAHA,

OTAisyahRozalli
☺☺☺☺☺☺☺

#advokasidiriuntukbersederhana
#lihatanaksecarabersederhana


No comments:

Post a Comment