Friday, July 26, 2019

Adakah zaman sekarang kita melahirkan TUAN?

1. Dunia makin maju, namun akhlak dan kemenjadian murid-murid makin teruk. Makin ramai murid biadab dan tidak lagi menghormati guru serta ibubapa.

2. Selain kurangnya didikan agama, aku yakin ianya juga berpunca dari sikap segelintir ibubapa yang terlampau memanjakan anak-anak mereka. Terlampau manja sehingga mengada-ngada.

3. Pernah kecoh suatu ketika dahulu ada ibubapa memarahi guru hanya kerana menyuruh anak mereka memadam papan hitam. Katanya guru buat anak mereka macam orang gaji. Aku baca sambil geleng kepala sahaja.

4. Seorang guru baru sahaja pm aku. Dia meluahkan rasa kesal dengan sikap ibubapa murid sekolahnya yang marah bila guru minta anak-anak murid kutip sampah sebelum masuk kelas. Katanya cleaner dan tukang kebun sekolah dah ada. Tak perlu libatkan murid lagi. What? 🤦‍♂️

5. Aku fikir, hal sebegini perlu kita ambil perhatian. Benarlah murid bukan orang gaji. Benar juga murid bukan hamba.

Namun bila seorang guru mengarahkan muridnya memadam papan hitam, mengutip sampah, mop lantai dan sebagainya, itu bukan tanda guru menjadikan anak kita sebagai orang gaji. Nak buat mereka sebagai hamba jauh sekali. Bukan tuan-tuan.

Itu juga sebahagian dari didikan. Ianya perlu. Ianya patut. Ianya sangat bagus untuk mendidik anak-anak bertanggungjawab, menghormati guru, menjaga kebersihan, patuh pada arahan, berdisiplin dan memupuk sikap suka membantu.

Ia bukan sejenis perhambaan. Bukan!

Mungkin ada segelintir ibubapa yang tak pernah bagi anak pegang mop, tak pernah suruh anak mengemas rumah. Mereka terlalu memanjakan anak di rumah, itu didikan mereka. Kami hormati.

Namun di sekolah, guru-guru ada kaedah mendidik tersendiri. Usahlah dipertikai setakat kutip sampah, mop lantai dan padam papan hitam tu. Itu sejenis didikan yang kami terap di sekolah.

Aku sendiri pernah suruh murid tahun 1 mop lantai kelas bila ada air murid tumpah. Bukan aku tak boleh buat sendiri. Bukan aku tak boleh panggil cleaner untuk cuci.

Namun aku nak latih anak-anak didik aku bertanggungjawab atas kekotoran yang mereka buat.

Aku nak didik mereka menjadi seorang yang sukakan kebersihan. Aku nak lihat mereka pandai mengurus diri dan kelas.

Ironinya, murid-murid suka. Mereka sangat suka bila diminta memadam papan hitam. Berebut-rebut sampai bergaduh hanya nak padam papan hitam.

Sama juga bila aku minta mereka mop lantai. Berebut nak buat. Berebut nak rasai pengalaman pegang mop dan bersihkan kelas.

Apa itu tidak bagus?

Entah lah. Di zaman serba serbi boleh diviralkan, di zaman serba serbi salah guru keperbesarkan, dan di zaman generasi makin lama makin hilang sopan, aku ada terfikir;

Adakah kita sedang melahirkan TUAN?

#MFS
- Murid bukan Tuan, guru bukan Tuhan -
.

#kredit :mohd fadli salleh





No comments:

Post a Comment